Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh dibuka pada hari Sabtu 15 Mac 1949 di bawah
taraf Sekolah Rakyat di tapak yang ada sekarang. Bangunan pertama berukuran 60
kaki panjang dan lebarnya 22 1/2 kaki beratapkan daun nipah dan dinding
setinggi 3 kaki berlantaikan tanah yang berdebu.
Tenaga pengajar yang pertama ialah En. Hassan bin Haji Ibrahim
dari Kampung Raja, Besut bertaraf Guru Rakyat. Jumlah murid yang belajar ialah
seramai 40 orang. Mereka belajar adri pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.
Matapelajaran yang diajar ialah mengira, menulis jawi dan rumi.
Sekolah ini dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail
Nasiruddin Shah Ibni Sultan Zainal Abidin - Sultan Terengganu pada bulan Jun
1949 - pukul 2.30 petang.
PENGASAS SEKOLAH KEBANGSAAN PENGKALAN NYIREH
En. Lembek bin Bima ialah pengasas Sekolah Kebangsaan Pengkalan
Nyireh, Beliau dilahirkan pada tahun 1908 dan meninggal dunia pada tahun 1968.
Beliau ialah Ketua Kampung Pengkalan Nyireh yang berusaha bersungguh-sungguh
berbincang dengan Pegawai daerah dan Guru Kumpulan Besut ( Jawatan Pegawai
Pendidikan Daerah - sekarang ) untuk membuka sebuah sekolah di Kampung
Pengkalan Nyireh.
Beliau juga telah mendapat sokongan daripada penduduk kampung di
persekitaran iaitu Kampung Seberang Kastam dan Kampung Air Tawar. Beliau
berusaha bertungkus lumus menghabiskan wang ringgit untuk berulang alik
berbincang dengan Jabatan Pelajaran dan Pejabat Daerah sehingga dibuka sebuah
bangunan sementara yang dinamakan SEKOLAH
MELAYU PENGKALAN NYIREH.